Isnin, 15 Disember 2008

Dimana Peranan Kita??

Salam..dan Salam Sejahtera..

Apa khabar masyarakat kita?? Masyarakat Malaysia..tidak kira bangsa dan agama, yang penting kita hidup dengan aman dan sejahtera. Semakin lama zaman semakin maju dan negara kita tidak ketinggalan menjejak arus dunia, maju dan terkenal di mata dunia dengan pelbagi sektor.

Dalam arus kemajuan, hampir kesemua masyarakat kita kini tidak kira bangsa mengejar kesenangan hidup, mahu meningkatkan taraf ekonomi dan sebagainya. Tetapi bagaimana caranya?? Tentulah dengan bekerja, bekerja dan bekerja..

Wah..itu sudah dikira perubahan yang positif. Setiap daripada kita ada keinginan untuk hidup dengan lebih baik, ada keinginan untuk meningkatkan taraf ekonomi. Dalam pada kita semua sibuk mengejar dan menguruskan ekonomi masing-masing sebenarnya banyak yang kita keciciran.

Salah satu kesannya penyakit-penyakit berjangkit telah banyak menular. Tidak cukup penyakit berjangkit yang sedia ada muncul pula penyakit yang baru. Contohnya yang paling mudah penyakit Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah yang telah sedia ada kini muncul pula Penyakit Chikungunya. Kedua-dua penyakit ini mempunyai tanda-tanda dan gejala yang lebih kurang sama, tambahan pula puncanya daripada vektor yang sama, iaitu Nyamuk Aedes!!!

Kita yakin, semua masyarakat kita tahu punca dan cara pembiakkan nyamuk berhantu ini (Nyamuk Aedes). Kerana maklumat ini telah disebarkan ke media massa dan media cetak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak-pihak berkaitan. Bukan itu sahaja, pelbagai kempen telah dibuat dan Pasukan COMBI juga telah ditubuhkan untuk memerangi masalah ini. Namun, bagaikan musim keadaan ini ada turun dan naiknya. Semua ini terpulang kepada sikap kita sendiri.. Sikap masyarakat kita. Sikap masyarakat Malaysia. Walaupun tak semua, tetapi kadang kala yang segelintir itulah yang menyumbang kita ke kancah wabak penyakit-penyakit ini! Anda tidak bersetuju?? Mari kita renungkan...!!!

Setiap kali kes Demam Denggi, Demam Denggi Berdarah atau Penyakit Chikungunya dilaporkan, pihak kesihatan akan mengambil langkah bagi pengawalan kes ini daripada berlakunya penularan. Tindakan pencegahan juga dilakukan supaya tidak menular ke tempat-tempat lain. Tetapi, sehingga mana pasukan kesihatan boleh buat pemantauan?? Perlukah pemantauan dilakukan setiap masa oleh pasukan kesihatan sedangkan tanggungjawab sebenar adalah tuan rumah sendiri, iaitu diri kita sendiri!!

Setiap kali Gerak Tumpu dan Program Gotong Royong dilakukan di kawasan-kawasan yang menjadi wabak penyakit-penyakit ini contohnya, kita boleh buka mata, kita boleh lihat siapa sebenarnya yang bergotong-royong?? Siapa sebenarnya yang mengutip sampah?? Siapa sebenarnya yang melakukan Gerak Tumpu dan "Search and Destroy" bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakkan Nyamuk Aedes?? Siapa??

Tentu anda boleh nampak, anda boleh lihat kebanyakkan yang melakukan gerak tumpu, gotong royong dan "Search and Destroy" bagi memusnahkan tempat-tempat pembiakkan Nyamuk Aedes adalah Pasukan Kesihatan dan Pasukan COMBI sendiri. Di mana pula peranan kita pada masa itu?? Seperti biasa, kita di dalam rumah masing-masing sibuk menguruskan hal sendiri pada waktu hujung minggu ataupun kita jadi mandur dan lemparkan senyuman kepada mereka yang membantu membersihkan rumah dan kawasan kediaman kita. Bagaikan mereka ini dibayar gaji untuk mengutip sampah di rumah kita. Tidak bolehkah kita membuka mata, masih tidak sedarkah kita bahawa semua itu adalah tanggungjawab kita.

Walaupun tidak semua masyarakat kita mengabaikan tanggungjawab ini, tetapi segelintir masyarakat itulah yang boleh menyebabkan kita dilanda wabak-wabak penyakit ini sehingga kadang kala kita kehilangan orang yang kita sayang, ahli keluarga kita.

Marilah kita fikir-fikirkan. Kebersihan sekitar adalah tanggungjawab bersama. Tanggungjawab kita sendiri dan jabatan-jabatan kerajaan. Ubah sikap kita demi kesihatan yang lebih terjamin.